Friday, July 31, 2009

shut up...


Diam..

Diam adalah merupakan suatu perbuatan menyepikan diri dan mulut dari memberi reaksi terhadap suatu perkara atau situasi yang berlaku. Orang tua-tua selalu berpesan, diam adalah lebih baik dari berkata-kata. Kerana diam adakalanya boleh menyelamatkan kita dari sebarang situasi yang tidak kena keadaannya.

Diam..

Pelbagai tafsiran boleh diberikan apabila kita melihat seseorang itu diam. Pada zaman dahulu misalnya, anak dara disuruh diam bila pihak lelaki datang merisik dan meminta persetujuan. Maka lahirlah ungkapan 'Diam tanda setuju'. Pun begitu, dalam segala hal tidak semestinya diam itu menandakan setuju. Kerana pada zaman ini, mendiamkan diri dalam konteks hubungan sesama manusia boleh membawa pelbagai maksud. Menyuarakan bantahan terhadap sesuatu perkara tetapi tidak diendahkan - maka diam adalah jalan terbaik, walaupun hati mengatakan sebaliknya.

Diam..

Lebih banyak diam dari berkata-kata bukan menandakan kebodohan kita dalam sesuatu perkara. Sebab, lebih baik kita diam dari berbicara sekiranya bila kita berkata-kata, seakan nampak semacam kebodohan di mata mereka yang melihat. Itu lebih baik dari bersikap pura-pura tahu tapi sebenarnya tidak tahu - sifat tin kosong yang bunyinya melenting-lenting apabila diketuk tapi isinya tiada. Seeloknya kita menjadi diam-diam ubi yang berisi. Diam juga bukan menandakan lemah. Kerana dalam diam dan tenangnya air, boleh menenggelamkan sebuah benua apabila banjir melanda. Tetapi janganlah kita mendiamkan diri apabila ditindas dan ingin menyuarakan kebenaran. Kerana ia hanya menyebabkan hak kita dinafikan oleh si penggila kuasa yang tamak dan merasakan dirinya berkuasa.

Diam..

Dalam agama juga menuntut agar kita lebih banyak diam dari berkata-kata, kerana tajamnya lidah melebihi pisau - yang bisa melukakan hati dan perasaan sesama manusia apabila disalahguna semasa menuturkan bicara. Kerana mulut badan binasa. Fitnah, mengumpat, mengeji dan mengadu domba - boleh saja menyebabkan retaknya hubungan sesama saudara, semuanya berpunca dari mulut yang tidak tahu diam dari menuturkan ayat-ayat yang berbisa.

Diam..

Cukuplah sampai di sini saja aku menuturkan kata. Kerana aku bimbang semakin banyak ayat-ayat yang aku tulis kelak akan membuat ada mereka yang terasa dan tidak suka. Oleh itu adalah lebih baik aku DIAM saja..

No comments:

Post a Comment